twitter
rss

Faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan manusia terbahagi kepada dua iaitu, faktor endogen iaitu faktor dalam diri individu serta faktor eksogen iaitu faktor luar individu.
Faktor Endogen
Faktor endogen merupakan faktor atau sifat yang dibawa oleh individu sejak dalam kandungan hingga kelahiran. Ia merupakan faktor keturunan atau faktor pembawaan. Seperti yang telah sedia kita ketahui, individu terjadi apabila berlakunya persenyawaan antara ovum ibunya dan sperma ayahnya. Maka, individu akan mempunyai sifat-sifat ibu dan ayahnya.
Terdapat banyak faktor-faktor endogen yang mempengaruhi proses perkembangan kanak-kanak. Faktor yang pertama ialah faktor baka. Baka merujuk kepada ciri-ciri biologi, atau gen-gen yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya. Trait yang diwarisi daripada ibu bapa terkandung dalam gen-gen ini. (Haliza Hamzah dan rakan, 2008) Dari segi fizikal, individu akan mewarisi sifat-sifat fizikal ibu bapanya seperti tinggi, bentuk badan, warna kulit, warna mata, warna rambut dan sebagainya.
Terdapat kajian yang mendapati sebahagian kecacatan mental adalah diwarisi. Misalnya, penyakit Tay-Sachs. Kanak-kanak yang menghidap penyakit ini selalunya mati pada umur 3 atau 4 tahun kerana kegagalan badan mereka memecahkan lemak. Penyakit ini selalunya berlaku di kalangan orang Yahudi di Timur Eropah. Jika kedua-dua ibu bapa membawa gen ini, anak mereka akan mempunyai peluan 25 peratus untuk menghidapi penyakit ini. Penyakit-penyakit lain yang boleh diwarisi adalah seperti sindrom Down, Phenylketonuria dan Anemia Sel Sikel. (Dr. Khadijah Rohani dan rakan-rakan, 2006)
Faktor  endogen yang mempengaruhi proses perkembangan kanak-kanak ialah pengambilan dadah, alcohol atau rokok oleh ibu semasa mengandungkan anak mereka. Apabila seorang ibu yang hamil mengambil dadah, risiko bayi yang dilahirkan cacat atau terencat akal adalah tinggi. Pengambilan dadah seperti heroin,kokein dan metadon juga boleh menyebabkan kecacatan kepada fetus. Pengambilan alcohol pula akan menyebabkan bayi menghidapi fetal alcohol syndrome, iaitu jarak mata bayi lebar, kepala kecil, jantung dan sendi-sendi tidak dapat berfungsi dengan betul, hiperaktif dan sebagainya. Selain itu, jika ibu yang mengandung merokok, janin akan mengalami kekurangan oksigen keranapembuluh darah mengecut. Karbon monoksida yang disedut akan meningkatkan kandungan karbon dalam haemoglobin ibu. Keadaan ini akan mengurangkan pengoksidaan darah dan seterusnya janin akan mengalami kekurangan bekalan oksigen. Ini boleh menyebabkan kecacatan otak dan ukuran lilit kepala yang kurang. (Dr. Khadijah Rohani dan rakan-rakan, 2006)
Faktor Rh darah juga merupakan salah satu faktor endogen yang mempengaruhi proses perkembangan kanak-kanak. Apabila perempuan yang berdarah Rh negative berkahwin dengan lelaki yang berdarah Rh positif, biasanya anak yang dilahirkan adalah berdarah Rh positif. Semasa hamil, ibu yang berdarah Rh negatif akan menghasilkan antibodi yang berupaya untuk memusnahkan sel darah fetus yang mengalir melalui uri dan memasuki darah ibunya. Pada kehamilan pertama, tiada apa-apa yang serius berlaku namun pada kehamilan kedua dan seterusnya, mungkin terdapat antibodi yang cukup dalam darahibu dan ia akan memusnahkan sel darah fetus sehingga mengakibatkan anemia. Sekiranya ibu tidak mendapatkan rawatan, dia mungkin akan mempunyai seorang anak sahaja dan mengalami keguguran pada kehamilan seterusnya.







Faktor Eksogen
Faktor eksogen merupakan faktor yang datang dari luar diri inidividu atau. Antara faktor eksogen yang mempengaruhi proses perkembangan kanak-kanak ialah faktor keluarga. Keluarga mempunyai banyak tanggungjawab dalam perkembangan kanak-kanak. Terdapat ahli sosiologi mengatakan bahawa kanak-kanak ketika dilahirkan adalah seperti kain putih atau papan tulis yang bersih. Maka, kanak-kanak tersebut akan mempelajari daripada ibu bapa mengenai kerjasama dan persaingan, kemesraan dan kerenggangan atau senang hati dan ketegangan. Apabila ibu bapa bersifat garang terhadap kanak-kanak, kanak-kanak tersebut akan bersifat pasif, tidak ada inisiatif, tidak  mahu bekerjasama dan mereka takut untuk mengeluarkan pendapat. Sekiranya ibu bapa berlembut dengan anak-anak dan memenuhi segala permintaan mereka serta memberikan kebebasan mutlak kepada kanak-kanak tersebut, kanak-kanak tersebut tidak akan menghormati orang tua dan tidak mempunyai perasaan tanggungjawab. Walau bagaimana pun, sekiranya seseorang kanak-kanak itu dibesarkan dengan cara melibatkannya dalam setiap perbincangan mengenai masalah keluarga serta dididik dengan lembut tetapi tegas dan banyak diberi bimbingan, kanak-kanak tersebut akan bersifat bersopan santun, yakin kepada kebolehan dirinya serta menunjukkan sifat-sifat yang positif. (Rohana Yusof,1996)
Sekolah juga merupakan salah satu faktor eksogen yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Di sekolah, kanak-kanak belajar berinteraksi dengan orang lain yang berada dalam kelompok asas mereka. Kanak-kanak diajar ilmu pengetahuan dan kemahiran semasa berada di sekolah dan apa yang dipelajari oleh kanak-kanak di sekolah tidak terbatas kepada kesedaran terhadap terhadap kurikulum sahaja tetapi mereka juga diajar tentang kepentingan nilai-nilai dan norma-norma kebudayaan masyarakat mereka. (Rohana Yusof,1996)
Selain itu, antara faktor eksogen yang lain adalah rakan sebaya. Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat dari segi nilai, sikap dan pandangan mengenai kehidupan terhadap kanak-kanak. Kanak-kanak akan cuba untuk menghayati norma, nilai dan harapan rakan sebaya agar diterima dan disanjung oleh kumpulannya walaupun kadangkala norma tersebut menyalahi norma dan nilai keluarga atau masyarakat(Rohana Yusof,1996).  Melalui rakan sebaya, kanak-kanak dapat memperolehi kemahiran untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat. Kanak-kanak akan belajar menghormati hak orang lain, bekerjasama, mempelajari peranannya, bertanggungjawab ke atas tugas yang diberi dan mematuhi peraturan dalam usaha mewujudkan keharmonian dalam kumpulan. Individu akan mempelajari kemahiran tersebut secara berperingkat-peringkat dan melalui permainan. (Dr. Khadijah Rohani dan rakan-rakan, 2006)
Tempat tinggal juga mampu mempengaruhi proses perkembangan kanak-kanak. Ia salah satu faktor yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak dari segi pembelajaran dan budaya atau gaya kehidupannya. Ini termasuklah sistem moral dan nilai seseorang. Secara amnya, tempat tinggal terbahagi kepada tiga kawasan, iaitu Bandar, luar bandar dan pinggir Bandar. Biasanya, individu yang tinggal di kawasan Bandar adalah lebih terbuka fikirannya, optimistik, bertenaga dan bercita-cita tinggi. Manakala individu di kawasan luar Bandar pula suka bekerjasama, hubungan yang lebih rapat dengan individu lain dan mementingkan nilai-nilai murni. (Dr. Khadijah Rohani dan rakan-rakan, 2006)

0 comments:

Post a Comment