twitter
rss

Menurut Dr.Ismail Said (2010), sejak tahun 1942, kerajaan British telah menubuhkan Unit Perancangan di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan semula Tanah Melayu setelah Perang Dunia Kedua tamat. Unit perancangan ini dinamakan sebagai Malayan Planning Unit dan diketuai oleh Mejar Jeneral Ralph Hone. Hone telah ditugaskan untuk merangka bentuk pentadbiran baru untuk Tanah Melayu dan akhirnya usul untuk menggabungkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat kecuali Singapura menjadi Malayan Union telah dibentangkan.
            Cadangan untuk Malayan Union ini telah dibentangkan pertama kalinya oleh Edward Gent, Penolong Setiausaha Rendah Tetap bagi Tanah Jajahan British pada Januari 1944 di Parlimen United Kingdom. Pada awalnya, Sabah dan Sarawak juga telah dimasukkan ke dalam cadangan awal Malayan Union namun kemudiannya telah dikeluarkan daripada cadangan terakhir kerana pihak British belum bersedia ketika itu dan masih lagi berada dalam keadaan yang kurang stabil.
            Penubuhan Malayan Union mempunyai beberapa sebab yang tertentu dan antaranya ialah untuk mewujudkan keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran British di Tanah Melayu. Sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua, pentadbiran di Tanah Melayu terbahagi kepada tiga bentuk pentadbiran yang tidak seragam iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. Dengan menggabungkan ketiga-tiga pentadbiran ini di bawah satu pentadbiran, suatu pentadbiran yang cekap, seragam dan tersusun akan dapat dihasilkan berbanding dengan pentadbiran yang berasingan yang merumitkan (Haji Tajuddin Bin Haji Hussein,2007). Dalam masa yang sama, dengan menyatukan ketiga-tiga pentadbiran ini dalam satu pentadbiran yang sama, kos perbelanjaan bagi menguruskan tiga pusat pentadbiran utama ini juga dapat dijimatkan. Ini kerana pentadbiran tiga unit ini secara berasingan telah menelan belanja yang banyak dan juga telah menyebabkan berlakunya pembangunan ekonomi yang tidak seimbang (Zamri Talib, 2008).
            British berhasrat untuk membentuk sebuah bangsa Malayan Union yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu penubuhan Malayan Union ini adalah bertujuan untuk melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu terutamanya di kalangan orang-orang Cina dan India kerana taat setia mereka masih lagi kepada Negara asal mereka. Dengan penubuhan Malayan Union, British berharap bangsa ini akan melupakan Negara asal mereka dan menumpukan taat setia sepenuhnya terhadap Malayan Union dengan kaedah pemberian kerakyatan yang longgar kepada mereka. Perkara ini adalah bagi memastikan wujudnya sumber tenaga dan pelaburan yang berterusan untuk memajukan ekonomi Tanah Melayu (Zamri Talib, 2008).
            Menurut pihak British, penubuhan Malayan Union juga adalah untuk menyediakan Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri (Haji Tajuddin Bin Haji Hussein,2007). Ini adalah disebabkan kerana British terikat dengan Piagam Atlantik pada 14 Ogos 1941 yang mengisytiharkan hak Negara-negara untuk berkerajaan sendiri. Sebelum hasrat ini tercapai pentadbiran yang stabil perlu diwujudkan. Oleh itu, menurut pihak British, Malayan Union perlu ditubuhkan.
            Tanah Melayu sememangnya terkenal sebagai pengeluar bijih timah dan getah terbesar di dunia ketika itu. Ini menyebabkan Tanah Melayu menjadi sumber ekonomi terbesar antara tanah jajahan Britis, Oleh itu, British ingin mengekalkan dan menjamin kekuasaannya di Tanah Melayu. Dengan penubuhan Malayan Union, hasrat British ini akan terlaksana dan ini akan membolehkan Britsh terus menguasai ekonomi Tanah Melayu dan mengurangkan kuasa politik orang Melayu. 
            Malayan Union telah diisytiharkan secara rasminya pada 1 April 1946 di King house, Kuala Lumpur dan Sir Edward Gent telah dilantik sebagai gabenornya yang pertama. Dengan pengisytiharan ini, secara rasminya ia telah menggantikan pentadbiran Tentera British yang telah dijalankan sejak bulan September 1955 (Dr. Johdi Salleh, 2007).
            Antara syarat-syarat utama yang terdapat di dalam Perlembagaan Malayan Union ialah :
1.    Semua negeri di Tanah Melayu telah disatukan di bawah satu kerajaan pusat kecuali Singapura yang diasingkan kerana kepentingannya sebagai pelabuhan bebas.
2.    Diketuai oleh seorang gabenor yang dilantik oleh Ratu England.
3.    Terdapat Majlis Eksekutif dan Majlis Undangan Malayan Union.
4.    Singapura diasingkan kerana bertindak sebagai pelabuhan bebas.
5.    Hak kerakyatan ditentukan oleh prinsip Jus Soli iaitu satu prinsip kerakyatan yang mudah dan longgar seperti :
a.    Kepada sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu dan Singapura
b.    Berumur 18 tahun ke atas dan gtelah bermastautin selama 10-15 tahun
c.    Kurang daripada 18 tahun dan merupakan anak warganegara
d.    Semua rakyat British daripada tanah jajahan takluknya
6.    Raja-raja Melayu hanyalah sebagai ahli Majlis Raja-Raja Melayu yang hanya membincangkan soal agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.
7.    Ketua pentadbir bagi setiap negeri diletakkan di bawah kuasa Pesuruhjaya Negeri.

(Zamri Talib, 2008)

0 comments:

Post a Comment