twitter
rss

Dalam konteks kehidupan sosial kanak-kanak, keluarga dan sekolah merupakan institusi manakala masyarakat serta rakan sebayanya adalah termasuk dalam kumpulan. Keluarga mempunyai banyak tanggungjawab dalam perkembangan kanak-kanak. Terdapat ahli sosiologi mengatakan bahawa kanak-kanak ketika dilahirkan adalah seperti kain putih atau papan tulis yang bersih. Maka, kanak-kanak tersebut akan mempelajari daripada ibu bapa mengenai kerjasama dan persaingan, kemesraan dan kerenggangan atau senang hati dan ketegangan. Apabila ibu bapa bersifat garang terhadap kanak-kanak, kanak-kanak tersebut akan bersifat pasif, tidak ada inisiatif, tidak  mahu bekerjasama dan mereka takut untuk mengeluarkan pendapat. Sekiranya ibu bapa berlembut dengan anak-anak dan memenuhi segala permintaan mereka serta memberikan kebebasan mutlak kepada kanak-kanak tersebut, kanak-kanak tersebut tidak akan menghormati orang tua dan tidak mempunyai perasaan tanggungjawab. Walau bagaimana pun, sekiranya seseorang kanak-kanak itu dibesarkan dengan cara melibatkannya dalam setiap perbincangan mengenai masalah keluarga serta dididik dengan lembut tetapi tegas dan banyak diberi bimbingan, kanak-kanak tersebut akan bersifat bersopan santun, yakin kepada kebolehan dirinya serta menunjukkan sifat-sifat yang positif.
            Kedudukan kanak-kanak sebagai ahli dalam struktur sesebuah institusi keluarga juga mempengaruhi kehidupan sosialnya. Contohnya, kanak-kanak yang merupakan anak sulung lebih berdikari dalam hidupnya, berkeyakinan dan lebih sensitif terhadap persekitaran kerana lebih banyak menerima tekanan. Kanak-kanak yang merupakan anak bongsu pula dalam kehidupan sehariannya dapat dilihat sifatnya yang manja, bergantung kepada ahli keluarganya yang lain serta sentiasa mendapat perhatian daripada ahli keluarga yang lain.
            Sekolah juga merupakan institusi dalam kehidupan sosial kanak-kanak. Di sekolah, kanak-kanak belajar berinteraksi dengan orang lain yang berada dalam kelompok asas mereka. Kanak-kanak diajar ilmu pengetahuan dan kemahiran semasa berada di sekolah dan apa yang dipelajari oleh kanak-kanak di sekolah tidak terbatas kepada kesedaran terhadap terhadap kurikulum sahaja tetapi mereka juga diajar tentang kepentingan nilai-nilai dan norma-norma kebudayaan masyarakat mereka.
            Dalam proses persekolahan, kanak-kanak dapat berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya dalam beberapa jam persekolahan. Dalam keadaan ini, mereka menentukan sama ada mereka diterima atau ditolak oleh kumpulan tersebut. Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat dari segi nilai, sikap dan pandangan mengenai kehidupan terhadap kanak-kanak. Kanak-kanak akan cuba untuk menghayati norma, nilai dan harapan rakan sebaya agar diterima dan disanjung oleh kumpulannya walaupun kadangkala norma tersebut menyalahi norma dan nilai keluarga atau masyarakat.
           

0 comments:

Post a Comment