twitter
rss

Perkataan budaya berasal dari perkataan budi dan daya yang mana perkataan tersebut digabungkan menjadi budi dan daya. Perkataan bu dalam budaya membawa maksud asli, pertama, sejati dan yang dipandang sempurna, menyenangkan serts dimuliakan. Daya pula bererti akal, fikiran, ciptaan dan sebagainya. Dengan itu dapat disimpulkan bahawa perkataan budaya merangkumi segala hasil daripada akal manusia yang asli dan bukan tiruan, setiap perilaku yang ditiru tidak akan dianggap sebagai hasil budaya sesuatu bangsa atau masyarakat. (Rohana Yusof,1996)
Menurut Edward B.Taylor dalam bukunya Primitive Culture, kebudayaan merupakan satu keseluruhan kompleks yang merangkumi pengetahuan, kepercayaan, seni, sikap, undang-undang adat resam dan kebolehan lain yang diperolehi manusia sebagai ahli masyarakat.
Ruth Benedict pula menyatakan bahawa kebudayaan merupakan unsur perorganisasian antara individu dan membentuknya menjadi satu kelompok yang berkebudayaan. Bagi Ralph Linton pula, kebudayaan merupakan satu susunan perlakuan yang dipelajari dan hasil daripada perlakuan tersebut digunakan bersama dalam masyarakat. Susunan perlakuan bermaksud perlakuan yang dikaitkan dengan kehendak atau fungsi yang kekal dalam masyarakat.
Budaya terbahagi kepada tiga komponen kebudayaan iaitu komponen kognitif, komponen normatif serta komponen kebendaan. Kebudayaan yang berbentuk kognitif ialah keseluruhan pemikiran yang ada pada sesebuah masyarakat. Ini termasuklah simbol, bahasa dan nilai termasuk ilmu pengetahuan dan kepercayaan. Simbol merupakan sesuatu yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu sebagai contoh bendera, perkataan dan nombor. Bahasa pula merupakan alat perhubungan yang digunakan untuk menyatakan serta berkongsi idea, nilai kepercayaan dan pengetahuan manakala nilai pula merupakan idea yang dikongsi bersama berkenaan sesuatu yang penting dan berguna. Nilai merupakan satu prinsip anggota masyarakat untuk bertindak dan nilai adalah anggapan yang mustahak,baik dan dikongsi. Ia dihasilkan daripada tingkah laku manusia dan apa yang dipelajari. Nilai seseorang  individu terbentuk berdasarkan kepercayaan dan agam yang dianuti mereka. Masyarakat yang berlainan antara satu sama lain akan mempunyai budaya yang berbeza-beza seterusnya mempunya  nilai yang berbeza.
Komponen bagi kebudayaan normatif ialah elemen yang berbentuk norma sosial. Setiap budaya mengandungi peraturan yng mengatur perlakuan anggota masyarakat dalam setiap situasi kehidupan. Peraturan ini dikatakan sebagai norma yang dimiliki dan dikongsi bersama oleh anggota masyarakat dan diterima sebagai perlakuan yang sesuai untuk situasi tertentu. Sebagai tingkah laku yang standard, norma sosial merupakan peraturan yang ditentukan dan dipersetujui oleh sebahagian besar anggota masyarakat tentang munasabah atau tidaknya sesuatu tingkah laku itu. Norma akan memberi garis panduan kepada tingkah laku yang wajar sama ada ia betul atau salah.
Komponen kebudayaan yang terakhir iaitu kebendaan ialah kebudayaan dalam bentuk objek yang konkrit seperti tempat tinggal, benda dan cara penggunaannya serta alat mempersembahkan idea dengan cara yang juga konkrit seperti buku dan lukisan. Kebudayaan kebendaan terdiri daripada objek fizikal yang direka, dibuat, digunakan dan dikongsi bersama oleh anggota masyarakat termasuklah teknologi yang digunakan. Artifak yang dicipta bukan sahaja hasil daripada teknologi tetapi juga daripada nilai, kepercayaan dan normanya. Masyarakat yang mempunyai tradisi tentang persoalan saintifik dan sedia menerima perubahan intelek lebih besar kemungkinan membuat ciptaan-ciptaan baru jika dibandingkan dengan masyarakat yang menolak perubahan.

0 comments:

Post a Comment