twitter
rss

Seperti yang telah dinyatakan dalam konsep budaya, kebudayaan boleh dibahagikan kepada tiga komponen iaitu kebudayaan kognitif, kebudayaan normatif serta kebudayaan kebendaan. Ketiga-tiga komponen kebudayaan ini mempunyai pengaruh terhadap kehidupan sosial kanak-kanak.
Bagi kebudayaan kognitif, budaya yang berlainan akan menyebabkan kanak-kanak menggunakan simbol, bahasa, dan kepercayaan serta juga nilai yang berlainan. Sebagai contohnya, kanak-kanak yang hidup dalam budaya mayarakat Dusun tidak akan sama kehidupan sosialnya dengan kanak-kanak yang membesar dengan budaya Cina. Ini kerana, dari segi bahasa, bahasa yang digunakan semasa membesar dan juga bahasa yang digunakan di sekelilingnya semasa membesar adalah berlainan. Dari segi kepercayaan pula, kanak-kanak yang merupakan orang Dusun mempunyai kepercayaan sendiri yang mana telah diterapkan oleh ibu bapanya semenjak lahir lagi. Kepercayaan yang diterapkan dalam diri kanak-kanak Dusun ini adalah berbeza dengan kepercayaan yang diterapkan dalam diri kanak-kanak yang hidup dalam masyarakat yang mempunyai kebudayaan berbeza.
Nilai yang diterapkan antara kanak-kanak yang berlainan budaya juga adalah berbeza. Sebagai contoh, ada ibu bapa yang menganggap bahawa barang yang dijumpai di tengah jalan adalah tidak salah untuk dijadikan hak milik mereka. Oleh itu, anak mereka akan mengikut tingkah laku ibu bapanya dan hidup dengan nilai tersebut dalam kehidupan hariannya. Ada pula ibu bapa yang menganggap mengambil barang yang dijumpai dan dijadikan hak milik adalah perkara yang tidak baik, dan nilai ini diturunkan kepada anak mereka lalu anak mereka akan hidup dengan nilai yang sama.
Bagi komponen kebudayaan normatif pula, pengaruhnya dalam kehidupan sosial kanak-kanak juga dapat dilihat. Setiap masyarakat mempunyai norma sosial yang berbeza dan norma-norma ini memberi pegaruh terhadap kehidupan sosial kanak-kanak. Kanak-kanak mempelajari budaya melalui norma-norma masyarakat. Budaya yang ditunjukkan oleh anggota masyarakatnya bukan sahaja akan menentukan sahsiah, tingkah laku malahan kehidupan sosialnya bermula dari peringkat kanak-kanak hinggalah dewasa. Sekiranya kanak-kanak hidup dalam masyarakat yang mempunyai budaya yang baik, maka hasilnya positif dan diterima oleh masyarakat namun sekiranya ia hidup dalam masyarakat yang mempunyai budaya yang tidak sihat dan bertentangan dengan budaya masyarakatnya maka tingkah lakunya kelak adalah tidak disenangi oleh semua pihak. Sebagai contoh, bagi masyarakat Barat, budaya pergaulan yang bebas antara lelaki dan perempuan adalah perkara yang tidak menjadi kesalahan dan tidak dipandang serius. Ini mempengaruhi kanak-kanak yang hidup dalam masyarakat tersebut yang mana mereka bergaul dengan bebas dengan rakan yang berlainan jantina sehingga ada yang melampaui batas pergaulan. Bagi masyarakat Timur pula, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan adalah sesuatu yang menyalahi norma dalam masyarakat dan ini mendidik kanak-kanak untuk menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam kehidupan sosial mereka.
Contoh lain yang lebih jelas ialah dalam situasi di Negara-negara yang mengalami peperangan contohnya di Palestin. Di Palestin, kanak-kanak sudah mula terlibat dalam peperangan dan ianya tidak melanggar norma masyarakat di sana kerana keadaan mereka, tetapi bagi Negara-negara yang aman, kanak-kanak terlibat dalam peperangan adalah sesuatu yang menyalahi norma masyarakat mereka.

0 comments:

Post a Comment