twitter
rss

Kewujudan media massa seperti akhbar dan majalah mempunyai peranan yang besar dalam menggerakkan semangat nasionalisme di Tanah Melayu kerana melalui akhbar dan majalah, idea-idea nasionalisme dan perasaan anti penjajah dapat disebarkan kepada rakyat jelata walau di mana pun mereka berada.
            Antara akhbar yang berperanan besar dalam menggerakkan semangat nasionalisme masyarakat sebelum terbentuknya Malaysia ialah akhbar Al-Imam. Akhbar ini merupakan saluran penyebaran yang digunakan untuk menyebarkan idea pembaharuan Kaum Muda iaitu golongan pelajar yang menuntut di Universiti Al-Azhar yang juga dikenali sebagai Gerakan Islah.
            Akhbar al-Imam ini diterbitkan di Singapura pada tahun 1906 dan telah dihentikan penerbitannya pada tahun 1908. Tujuan al-Imam diterbitkan adalah untuk mengingatkan mereka yang lalai dan menunjukkan mereka yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebaikan.
            Antara saranan-saranan yang dikemukakan oleh akhbar Al-Imam ialah menyeru orang Melayu berpegang kepada al-Quran dan hadis, menekankan pentingnya ilmu pengetahuan untuk mencapai kemajuan, menitik beratkan pengetahuan sejarah kerana banyak iktibar yang boleh dipelajari, menasihati ibu bapa supaya memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak, menggesa kaum wanita diberi peluang mendapatkan pendidikan dan yang terakhir ialah mengetepikan adat resam dan kepercayaan karut yang boleh menghalang kemajuan.
            Selepas majalah Al-Imam dihentikan penerbitannya, semangat dan cita-cita yang diperjuangkannya diteruskan oleh akhbar lain seperti Neracha, Al-Ikhwan, Pengasuh dan Saudara. Al-Imam telah memberikan kesan yang besar dalam perkembangan pemikiran orang Melayu.
            Idea pembaharuan Kaum Muda melalui akhbar Al-Imam ini mendapat tentangan daripada golongan yang dikenali sebagai Kaum Tua. Kaum Tua ini terdiri daripada golongan ulama dan pengawal agama yang tidak dapat menerima idea Islah yang dipelopori oleh Kaum Muda. Golongan ini berpegang kuat kepada adat dan agama Islam. Walau bagaiamanapun, perkara yang menimbulkan pertelingkahan antara mereka hanyalah perkara kecil yang tidak melibatkan perkara pokok dalam agama Islam. Kaum Tua telah menerbitkan akhbar Suara Benar dan Lidah Benar untuk menentang idea Kaum Muda.
            Gerakan Islah ataupun Kaum Muda ini telah menimbulkan kesedaran di kalangan intelektual Melayu yang kemudiannya telah menyemarakkan kesedaran semangat kebangsaan pada tahun 1930-an. Golongan intelektual ini terdiri daripada golongan lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).
            Golongan intelektual ini telah berganding bahu dengan golongan cerdik pandai agama bagi menyumbangkan tenaga dan fikiran untuk memajukan orang Melayu dalam bidang ekonomi dan usaha ini telah berjaya menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat ketika itu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada jajahan British. Antara tokoh nasionalis tersebut ialah Harun Aminnurashid yang merupakan tokoh pejuang kebangsaan lepasan MPSI. Beliau merupakan seorang penulis yang aktif dalam penulisan puisi bertemakan semangat nasionalisme.
            Pada tahun-tahun 1930-an juga, tokoh-tokoh seperti Dato’ Onn Ja’afar dan Abdul Rahim Kajai telah muncul. Tulisan mereka telah membangkitkan kesedaran untuk memajukan diri dan bersatu padu, di samping mengkritik dasar-dasar British yang menekan orang Melayu.
            Kebanyakkan akhbar, majalah dan novel yang dihasilkan pada ketika itu adalah untuk menyedarkan dan seterusnya memajukan bangsa Melayu. Isu-isu yang dibangkitkan dalam akhbar dan majalah juga adalah dari segi sosial, pendidikan, ekonomi dan politik.
Dari segi sosial, hal-hal yang dibangkitkan adalah berkaitan :
-       Memajukan pendidikan tinggi orang Melayu.
-       Mengalakkan pendidikan untuk anak perempuan.
-       Menyeru orang Melayu supaya meninggalkan sifat negatif seperti memilih kerja dan tidak mahu berusaha.
-       Menggalakkan tabungan dalam kalangan orang Melayu untuk pendidikan anak-anak.
-       Mementingkan kemahiran tradisional orang Melayu seperti pertukangan dan kerja tangan.
-       Mementingkan pendidikan bahasa Inggeris untuk kemajuan orang Melayu.
-       Meminta taraf sekolah Melayu dibaiki dengan memberiknnya nilai ekonomi.
-       Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran British.
-       Mengekalkan nilai-nilai baik masyarakat Melayu.
Dari segi ekonomi pula, isu-isu yang dibangkitkan ialah :
-       Menggalakkan penubuhan syarikat kerjasama.
-       Mengurangkan kemasukan pedagang luar yang boleh mengancam ekonomi tempatan.
-       Menggalakkan orang Melayu terlibat dalam aktiviti ekonomi.
-       Melarang orang Melayu daripada menjual tanah mereka.
-       Menyeru orang Melayu supaya berjimat cermat.
-       Meminta British mengadakan kampung khas orang Melayu di Kuala Lumpur.
Dari segi politik pula, isunya ialah :
-       Mengkritik British kerana mengurangkan kuasa raja-raja Melayu.
-       Mengkritik para pembesar dan raja-raja Melayu kerana tidak melaksanakan kemajuan kepada masyarakat Melayu.
-       Menolak dasar pilih kasih British dalam pentadbiran kerajaan.\
-       Menuntut diadakan Malay Administrative untuk melindungi orang Melayu dalam perkhidmatan kerajaan.
-       Menyeru orang Melayu di seluruh Tanah Melayu supaya bersatu dalam sebuah pertumbuhan kebangsaan.
-       Menentang tuntutan orang luar terhadap politik tempatan.
Majalah juga memainkan peranan yang penting dalam membangkitkan semangat nasionalisme penduduk Tanah Melayu. Sehingga tahun 1940-an, terdapat 120 buah majalah pelbagai corak telah diterbitkan. Perkara yang difokuskan oleh majalah melalui rencana dan puisi yang diterbitkan ialah persoalan untuk memajukan bangsa Melayu dan kebanyakkannya menyentuh mengenai isu kemajuan bangsa dalam bidang pendidikan, ekonomi, bahasa, sastera dan politik.
Majalah terawal di Tanah Melayu ialah Majalah Pengasuh yang diterbitkan pada tahun 1918. Majalah ini telah membangkitkan isu-isu seperti soal pentafsiran Islam yang progresif bagi kemajuan ummah, galakan pendidikan dalam kalangan orang Melayu, memperluaskan ilmu dalam segala bidang, pentafsiran terhadap persoalan orang Islam dan juga menggesa orang Melayu menjauhkan diri daripada sifat buruk.
Pada tahun 1924, majalah Guru telah diterbitkan dan pengarangnya terdiri daripada Muhamad Dato’ Muda Linggi, Yusuf Ahmad dan Mohd Sidin Rashid. Isu-isu yang dibangkitkan oleh majalah Guru ialah :
-       Memberi pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak Melayu.
-       Menyeru perpaduan dalam kalangan orang Melayu.
-       Meniupkan semangat cinta akan Negara dan menentang penjajahan.
-       Memperbaiki taraf hidup orang Melayu.
-       Memajukan bahasa dan sastera Melayu.
-       Menggalakkan perpaduan dalam kalangan guru sebagai pemimpin bahasa.
Pada tahun 1930 pula, majalah Bulan Melayu telah diterbitkan oleh Zainon Sulaiman. Pelbagai isu telah dibincangkan dalam majalah ini dan kebanyakan isu tersebut adalah berkenaan dengan wanita. Antara isu-isu tersebut ialah menggalakkan perpaduan dalam kalangan guru perempuan Melayu Johor dan juga menggalakkan wanita mendapat pendidikan untuk kemajuan diri. Selain itu majalah Bulan Melayu juga mendorong wanita menjaga kesopanan dengan nilai-nilai Islam dan budaya timur serta menggalakkan wanita menjadi obor untuk memajukan bangsa.
Penulisan novel di Tanah Melayu bermula pada awal abad ke-20 dan telah menjadi semakin rancak pada tahun 1930-an. Penyebaran semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat melalui penulisan novel merupakan usaha-usaha yang dijalankan oleh para sasterawan dalam menyedarkan masyarakat ketika itu. Mesej-mesej tentang semangat kebangsaan sangat jelas dalam karya-karya novel yang terhasil.
Antara novel-novel yang banyak menyampaikan mesej kesedaran bangsa ialah novel Keris Melaka, Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila serta novel Melor Kuala Lumpur. Novel Keris Melaka merupakan novel yang dikarang oleh Ahmad Bakhtiar. Ia bertemakan semangat perjuangan menentang penjajah Barat dan berkisar mengenai sumbangan tokoh-tokoh Kesultanan Melayu Melaka seperti Hang Tuah. Ahmad Bakhtiar telah menggunakan sejarah sebagai inspirasi dan pedoman untuk mendorong semangat perjuangan bangsa bagi generasi muda ketika itu.
Novel Putera Gunung Tahan dan Novel Anak Mat Lela Gila merupakan hasil karya penulis berbakat iaitu Ishak Haji Muhammad. Seperti kebanyakan pengarang sebelum merdeka, Ishak menggunakan novel dan cerpen sebagai saluran untuk membakar semangat orang Melayu dan menyedarkan mereka tentang kedudukan mereka yang mundur dalam politik, ekonomi dan sosial. Sikapnya yang antipenjajah jelas diluahkannya dalam novel dan cerpennya. Putera Gunung Tahan adalah sebuah novel politik yang bertujuan untuk meniup semangat cinta akan tanah air, semangat ingin hidup maju dan bebas daripada belenggu penjajahan. Di dalam novelnya ini juga beliau cuba untuk menerapkan dalam diri anak muda rasa bangga terhadap kebolehan sendiri serta rasa tanggungjawab untuk menjaga maruah bangsa walaupun terpaksa menggadai soal cinta. Novelnya yang berjudul Anak Mat Lela Gila pula menggambarkan keadaan masyarakat Melayu dengan kisah-kisah hasil pengalaman beliau mengembara ke seluruh negara. Watak-wataknya melontarkan sindiran terhadap sikap tidak adil penjajah Inggeris dan pembesar-pembesar tanah air terhadap masyarakat Melayu. Melalui novel Anak Mat Lela Gila, beliau cuba menerapkan semangat dalam diri anak muda ketika itu untuk menentang penjajah serta menghargai warisan bangsa.
Melor Kuala Lumpur pula merupakan sebuah novel hasil karya Harun Aminurrashid yang bertemakan kepentingan pendidikan moden dalam kalangan wanita Melayu. Dalam novel ini juga, beliau menyeru untuk membuang pandangan negatif yang boleh menghalang kemajuan bangsa.

0 comments:

Post a Comment