twitter
rss

Pada musim bunga tahun 1944, Sir Harold MacMichael telah dijemput oleh Pejabat Kolonial untuk ke Tanah Melayu bagi mendapatkan tandatangan daripada Raja-Raja Melayu (Dr. Ismail Said, 2010). Pemerintahan Tentera British merupakan masa yang paling sesuai bagi MacMichael untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu kerana keadaan ketenteraan ini sesuai untuk dijadikan asas ugutan untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu.
Pada Oktober 1945, Sir Harold MacMichael tiba di Tanah Melayu bagi mendapatkan persetujuan dan tandatangan Raja-Raja Melayu ke atas Perjanjian Malayan Union (International Law Book Services, 2000). Beliau hanya mengambil masa selama 22 hari untuk mendapatkan tandatangan daripada kesemua pemerintah Tanah Melayu. Beliau telah bertindak memaksa sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British dan langsung tidak memberi masa untuk sultan-sultan tersebut untuk berunding dengan majlis masing-masing. Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain atas tuduhan bekerjasama dengan pihak Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Hal ini menyebabkan berlakunya rasa tidak puas hati rakyat terhadap cara Sir Harold MacMichael mendapatkan persetujuan para Sultan dan ini telah membawa penentangan terhadap penubuhan Malayan Union.
Selain itu, penubuhan Malayan Union juga telah mendapat tentangan kerana pemberian kerakyatan yang longgar melalui Orang Melayu tidak bersetuju dengan syarat kerakyatan yang longgar mengikut prinsip jus soli. Orang Melayu tidak mahu orang Cina dan India diberi syarat kerakyatan yang longgar kerana mereka masih tidak yakin dengan taat setia orang Cina dan India terhadap Tanah Melayu. Pemberia taraf kerakyatan yang longgar akan menyebabkan ramai orang Cina dan India akan menjadi warganegara Tanah Melayu. Orang Melayu bimbang orang Cina akan menguasai politik apabila bilangan mereka melebihi orang Melayu.
Melalui penubuhan Malayan Union, kuasa dan kewibawaan raja akan berkurangan dan terhakis. Walaupun kedudukan Sultan dikekalkan, tetapi kekuasaan dan kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa pentadbiran dan hanya berkuasa dalam hal-hal yang tertumpu dalam hal-ehwal Islam dan adat resam Melayu. Walaupun sultan masih mempunyai kuasa membincangkan soal-soal agama tetapi zakat fitrah dipungut di bawah nama Gabenor Malayan Union (Zamri Talib, 2008). Keadaan ini bertentangan dengan kedudukan sultan sebagai ketua agama Islam.
Penubuhan Malayan Union juga ditentang oleh rakyat Melayu kerana ia akan menghapuskan hak-hak istimewa yang dinikmati oleh orang Melayu sebagai bumiputera Tanah Melayu kerana perlembagaan MU memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan. Semua warganegara Malayan Union akan mempunyai hak-hak yang sama termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam (Dr. Ismail Said, 2010). Orang Melayu tidak mahu hak istimewa dinikmati oleh orang Cina dan India yang dianggap pendatang yang menumpang di Tanah Melayu. Penghapusan hak istimewa menyebabkan orang Melayu bimbang penguasaan ekonomi oleh orang Cina akan bertambah besar dan ini akan meluaskan jurang ekonomi antara orang Melayu dengan Cina.

0 comments:

Post a Comment